Perkembangan Semasa

Pelancaran laporan “Kajian Jerebu Tempatan & Rentas Sempadan” dan IdeaXchange ke-30 oleh Akademi Sains Malaysia

Tarikh: 8 Oktober 2018
Lokasi: Tapak Semaian Taman Tugu

Akademi Sains Malaysia (“ASM”) melancarkan laporan “Kajian Jerebu Tempatan & Rentas Sempadan” (“Local & Transboundary Haze Study”), iaitu sebuah kajian yang meneliti punca utama dan mengemukakan cadangan bagi penyelesaian masalah jerebu di rantau ini. Sebelum pelancaran, Presiden ASM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail FASc, bersama-sama dengan Ahli Majlis dan Felo ASM telah menanam pokok renek di Hutan Taman Tugu sebagai tanda sokongan kepada Projek Taman Tugu.

Laporan mengenai jerebu ini dilancarkan oleh Profesor Datuk Dr Asma Ismail FASc dan Profesor Dato’ Ir Dr A Bakar Jaafar FASc, iaitu Pengerusi Pasukan Petugas Khas Jerebu yang menerajui kajian dan penghasilan laporan tersebut.

Matlamat laporan ini adalah untuk berfungsi sebagai alat diplomasi sains yang membolehkan sains memberikan sumbangan secara berkesan terhadap pembuatan keputusan berasaskan maklumat pada semua peringkat kerajaan dan pihak berkepentingan. Kajian tersebut merumuskan bahawa jerebu yang merupakan suatu masalah yang berakar umbi dalam sosioekonomi memerlukan penyelesaian yang berakar umbi dalam sosioekonomi juga.

Selepas pelancaran tersebut, ASM mengacarai IdeaXchange ke-30 (30th IdeaXchange). Inilah kali pertama ASM mengacarai program IdeaXchange ini di luar pejabat ASM. Tajuk IdeaXchange kali ini ialah eksport komoditi pertanian alternatif yang perlu ditumpukan oleh Malaysia dan aplikasi yang berpotensi besar. Idea-idea yang tercetus termasuklah cadangan agar Malaysia menghidupkan kembali eksport betik memandangkan Malaysia pernah menjadi salah satu pengeksport betik dunia terbesar pada lewat 1990-an/awal 2000-an. Cadangan lain termasuk mengesyorkan agar Malaysia melaksanakan pempelbagaian kepada sesuatu yang baharu, seperti keledek memandangkan wujudnya jurang antara permintaan dengan bekalan dalam hasil pertanian tersebut.

Perbincangan yang terhasil adalah amat bermakna dan kami berharap tindakan lanjut akan dapat diambil pada masa akan datang. Program diakhiri pada petang itu dengan sajian jamuan ringan.

Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang setulusnya kepada ASM atas sokongan yang dihulurkan mereka kepada Projek Taman Tugu dan kami berharap dapat melihat ramai ahli ASM berkunjung dengan kerap ke Hutan Taman Tugu untuk memberikan perhatian kepada pokok yang telah ditanam masing-masing.

Laporan penuh “Local & Transboundary Haze Study” boleh dilihat dan dimuat turun melalui pautan yang berikut: https://issuu.com/asmpub/docs/haze_report.



top