Perkembangan Semasa

Hari Bumi Taman Tugu

Tarikh: 20 April 2019
Lokasi: Taman Tugu

Bumi yang tiada rimba seumpama hamba.”

Pada Tarikh ini kami telah meraikan alam semula jadi kita bersempena Hari Bumi 2019! Lebih daripada 1,000 orang pengujung dari pelbagai lapisan turut bersama memperingati dan menghargai hari istimewa ini dengan kami.

Hari Bumi merupakan acara tahunan antarabangsa yang biasanya disambut pada 22 April untuk menunjukkan sokongan terhadap perlindungan alam sekitar. Acara bersejarah ini telah disambut sejak tahun 1970-an, sebagai suatu platform untuk menekankan betapa pentingnya untuk memnasmi pencemaran industri, serta meningkatkan prestasi perlindungan alam sekitar. Hari Bumi kini diraikan di lebih daripada 193 buah negara dan oleh lebih daripada 1 bilion orang.
Hari bumi merupakan satu peringatan bagi orang ramai untuk berfikir sejenak mengenai nilai-nilai insani, ancaman-ancaman yang planet ini sedang hadapi dan cara-cara untuk bantu melindungi alam sekitar kita.

Dengan objektif yang sama, Hari Bumi Taman Tugu dibuka kepada orang ramai dengan harapan untuk memacu dan menyebarkan kesedaran mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan hutan-hutan serta Kawasan-kawasan hijau awam. Semasa acara tersebut, yang berlangsung dari puku 7 pagi hingga ke pukul 12 tengahari, para pengujung telah mengambil peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti seperti lawatan berpandu ke denai-denai Taman Tugu, senanman “High Intensity Interval Training” (HIIT 101) dan Zumba.

Pondok-pondok aktiviti juga turut disediakan dan telah dijalankan oleh rakan-rakan sepejuangan kami seperti  Free Tree Society (FTS), Global Environment Centre (GEC), Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di mana orang ramai diberi peluang untuk menimba ilmu mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, dan mengambil bahagian untuk menanam tumbuh-tumbuhan, membina habitat hidupan liar, menjalankan ujian kualiti air, serta mempelajari aspek-aspek 3R iaitu “recycle”(kitar semula), “reuse” (guna semula) and “reduce”(kurangkan pembuangan).

Selain daripada menyertai aktiviti-aktiviti tersebut, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan dari artis-artis tempatan dan pelajar-pelajar sekolah rendah seperti:

  • Ayawan – pemuzik alam yang berasal dari Perak dan juga dikenali sebagai Ayawan Musafir Singgah, mendendangkan lagu harmoni seruling buluh;
  • Pelajar-pelajar dari SK Seksyen 13 – persembahan lagu-lagu Angklung tradisional;
  • Dato’ Zainal Abidin dan Michael Veerapen – bintang tempatan popular dan pemuzik jazz ternama telah bersama-sama menghiburkan para pengunjung dengan lagu-lagu evergreen seperti ‘Hijau’ dan lagu rakyat, ‘Suriram’; dan
  • Farah Nadeera – seorang artis tempatan baru mendendangkan lagu patriotik ‘Setia’ yang turut dinyanyikan bersama-sama para tetamu.

Tidak melupakan budaya “Malaysia Truly Asia” kita, para pengunjung turut dipelawa dengan pelbagai jenis makanan dan minuman untuk dinikmati.

Sambutan acara tersebut menjadi lebih meriah dan bermakna dengan kunjungan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia dan isteri, YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah serta Menteri-Menteri yang berikut:

  • YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal-Ehwal Ekonomi,
  • YB Dr. Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber asli dan isteri beliau, Puan Sheila,
  • YB Tuan Khalid bin Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan,
  • YB Puan Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC),
  • YB Puan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta ahli-ahli Parlimen kawasan Segambut, dan
  • YBhg. Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Ketika lawatannya, YAB Tun Dr. Mahathir telah menyampaikan sepatah dua kata mengenai kepentingan mengimbangkan pemuliharaan hijau dengan pembangunan fizikal. Beliau mengisytiharkan mesej Hari Bumi adalah amat jelas sekali: di waktu kita berusaha untuk membangun Negara kita tidak harus lupa betapa pentingnya untuk kita mengekal dan memelihara alam semula jadi dan persekitaran kita.
“.. kita akan hanya berjaya menjadi sebuah Negara maju apabila kita berupaya memastikan pembangunan fizikal Negara beriringan dengan pemeliharaan alam semulajadi dan kehijauan kawasan persekitaran“.

YAB Tun Dr. Mahathir Mohamed menegaskan lagi mesej beliau dengan menanam pokok Tualang tempatan bersama YABhg Tun Dr. Siti Hasmah dan anak-anak dari Kelab Pencinta Alam, SK Subang Bestari 2.

YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah juga telah mengambil kesempatan untuk menyanyikan beberapa baris lirik dari lagu ‘Hijau’ bersama Dato’ Zainal Abidin, yang turut menghiburkan para pengunjung dan tetamu. Dato’ Zainal Abidin turut mendendangkan salah satu lagu kegemaran YAB PM iaitu ‘Suriram’.

Keseronokan acara Hari Bumi tersebut diakhir dengan sesi senaman Zumba dan beberapa lawatan hutan berpandu ke denai-denai hutan Taman Tugu, menandakan penutup yang amat manis bagi aktiviti-aktiviti acara hari itu.

Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua untuk berkesempatan memperingati dan merayakan Hari Bumi Tugu Taman bersama kami serta rakan-rakan sepejuangan kami, FTS, GEC, MNS, JAS, vendor-vendor, para sukarelawan, Rashid Salleh selaku Pengerusi Majlis, dan para penghibur yang menjayakan acara in. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Takaful dan Etiqa Insurance selaku penaja persembahan Dato’ Zainal Abidin dan Michael Veerapen serta Forest House Sdn. Bhd. Selaku penaja sate masakan Satay Troopers.

Kami juga dengan rendah dirinya, amat berterima kasih kepada YAB Tun Dr. Mahathir Mohamed, YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah, YB Menteri-menteri, dan Datuk bandar untuk meluangkan masa bagi meraikan Hari Bumi bersama-sama kami.



top