Perkembangan Semasa

Hari Eko Taman Tugu

Minggu Eko Taman Tugu
Hari Eko Taman Tugu

Tarikh: 24 September 2018
Lokasi: Tapak Semaian Taman Tugu

Sepanjang dua minggu yang lepas, kami telah menjadi juruacara kepada lebih 600 pengunjung dari pelbagai sekolah, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan syarikat ketika Minggu Eko Taman Tugu yang telah bermula pada 8 September 2018. Minggu Eko Taman Tugu merupakan peluang bagi orang ramai untuk memberikan sumbangan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan Taman Tugu. Minggu Eko Taman Tugu merupakan program yang diadakan menjelang Hari Eko Taman Tugu, yang berlangsung pada 22 September.

Hari Eko Taman Tugu diadakan untuk menandakan pembukaan bahagian Taman Hutan Taman Tugu yang telah disiapkan dan merupakan jemputan kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman berkunjung ke kawasan ini.

Hari Eko adalah terbuka kepada orang ramai dan kami berhasrat untuk melaksanakan program ini setiap tahun bagi menjana kesedaran yang lebih ketara mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan ruang hijau awam. Semasa berlangsungnya Hari Eko, orang ramai memperoleh peluang untuk menghabiskan masa berlatarkan hutan selain menjadi antara individu terawal untuk berjalan kaki di Rentis Hutan Taman Tugu, yang tidak syak lagi merupakan tarikan utama pengunjung pada hari itu.

Terdapat reruai yang telah didirikan oleh Free Tree Society (FTS), Global Environment Centre (GEC), Pusat Pemulihan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (Tropical Rainforest Conservation and Research Centre, TRCRC), Think City (TC), dan Kumpulan Mah Meri, iaitu subkumpulan orang asli Senoi dari bahagian barat Semenanjung Malaysia. Di reruai tersebut, orang ramai berpeluang mempelajari dengan lebih mendalam tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan juga budaya. Mereka juga mengambil bahagian dalam pelbagai permainan dan aktiviti berbentuk pendidikan seperti Belajar Menanam di reruai FTS, Belajar Membuat Sabun dan Lilin di reruai GEC, Belajar Menenun di reruai Mah Meri dan Bagaimana Melakukan Kitar Semula di reruai MNS. Elena dan Hau Yang daripada ‘Bike with Elena’ juga menjalankan sebuah bengkel basikal yang membincangkan cara berbasikal dengan selamat di bandar.

Pada Hari Eko itu juga, Baida Hercus, iaitu pengasas Free Tree Society, menyampaikan ceramah yang sangat menarik tentang perubahan iklim selain berkongsi pengalaman beliau menghadiri Projek Realiti Iklim (Climate Reality Project), yang diasaskan oleh Al Gore, di Amerika Syarikat pada tahun ini. Baida Hercus juga berkongsi cara bagaimana kita semua dapat menjadi pengawas alam sekitar, secara perlahan-lahan dan berhati-hati.

Irshad Mobarak, seorang naturalis, penyokong pemuliharaan dan pendidik juga berkongsi pengalaman beliau apabila beliau merungkaikan sejarah semula jadi burung enggang, iaitu salah satu daripada burung Malaysia yang amat disayangi. Irshad turut berkongsi tentang pembasmian hutan (deforestation) yang menjadi-jadi yang berlaku di Langkawi dan pemburuan haram burung enggang.

Selain ceramah, terdapat tayangan video tentang alam sekitar dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh seseorang individu untuk membantu mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) kita. Siri dokumentari 6 bahagian yang baru dihasilkan oleh WWF mengenai Harimau Malaya, yang diberi tajuk menarik On The Brink Of Extinction (Di Ambang Kepupusan), juga ditayangkan pada Hari Eko. Dokumentari ini mengandungi beberapa kisah mini yang diceritakan menerusi pengalaman peribadi beberapa individu berbeza dan kesemuanya menyerlahkan hakikat betapa perlunya usaha kerjasama yang lebih giat untuk menyelamatkan raja hutan negara Malaysia.

Bagi memeriahkan lagi Hari Eko, terdapat beberapa persembahan oleh Kumpulan Mah Meri, persembahan Angklung Tradisional oleh kanak-kanak daripada Rumah Kasih Harmoni, dan juga persembahan akustik oleh Markiza & Peter yang mendendangkan gubahan mereka sendiri tentang alam semula jadi.

Bertepatan dengan budaya dan tradisi masyarakat Malaysia yang sejati, pelbagai hidangan makanan tersedia untuk dinikmati oleh orang ramai.

Hari Eko diakhiri dengan pengumuman para pemenang Pertandingan Reka Bentuk Greenovation (“Greenovation”) Bangku & Gazebo.

Pertandingan Greenovation telah dirasmikan pada bulan September 2017 oleh Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Institut Arkitek Landskap Malaysia (“ILAM”). Ini merupakan pertandingan reka bentuk berasaskan idea bagi bangku atau gazebo inovatif yang akan dibina dan diletakkan di dalam Kawasan Taman Tugu. Kami telah menerima lebih 200 reka bentuk yang berinspirasi daripada para pelajar dan pengamal di seluruh Malaysia. Selepas sesi penyenaraian pendek yang ketat, 20 reka bentuk terbaik telah dikenal pasti dan para peserta peringkat akhir telah diundang untuk menghadiri sesi taklimat projek. Berikutan itu, 20 reka bentuk tersebut telah dipamerkan di Publika dan suatu sesi undian awam telah diadakan. Keputusan undian menyumbang sebanyak 20% kepada keputusan akhir. Baki 80% diperoleh daripada sesi penjurian akhir yang telah diadakan pada bulan Mac tahun ini. Ahli panel termasuklah mantan pengarah urusan Khazanah, Tan Sri Dato’ Wira Azman Mokhtar, dan mantan presiden ILAM, Profesor Madya Dr. Osman Mohd Tahir. Keputusan pertandingan tersebut ditunjukkan seperti di bawah.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung kerana anda sudi meraikan Hari Eko Taman Tugu bersama-sama kami dan rakan kongsi kami yang mengambil bahagian, iaitu FTS, GEC, TRCRC, TC, MNS, WWF, Kumpulan Mah Meri, Bike with Elena, para vendor, penceramah kami, Baida Hercus dan Irshad Mobarak, kumpulan persembahan, EcoKnights atas sumbangan beberapa klip pendek berasaskan pendidikan, dan MRM atas sumbangan lesen muzik. Kami juga ingin merakamkan terima kasih kepada peserta akhir Greenovation atas masa, usaha, kesabaran mereka dan juga sumbangan mereka yang amat bermakna kepada projek. Akhir sekali, ucapan terima kasih yang setulusnya kami tujukan kepada Forest House Sdn. Bhd. atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada pemeliharaan dan pemuliharaan Taman Tugu dan juga atas reka bentuk, pembinaan dan pembiayaan The Forest House.

Kami berharap anda semua gembira menikmati Taman Tugu seperti kami khususnya dalam usaha pemuliharaan warisan hijau negara kita. Jika anda ingin mengambil bahagian secara sukarela dalam Projek Taman Tugu, sila kirimkan e-mel anda kepada kami di greenscene@tamantuguproject.com.my.



top