Perkembangan Semasa

Home School Tribe di Taman Tugu

Tarikh: 26 Oktober 2018
Lokasi: Tapak Semaian Taman Tugu

Sejumlah kanak-kanak dan ibu bapa dari Home School Tribe telah hadir hari ini untuk memberikan sumbangan bermakna kepada pewujudan sebuah hutan hujan di sini, di Taman Tugu.

Kanak-kanak tersebut, dengan bantuan ibu bapa mereka, menanam tumbuhan tutup bumi (forest cover) untuk menyeimbangkan lagi ekosistem dan juga untuk membantu menstabilkan bumi dengan mengukuhkan tanah, sekali gus menghalang berlakunya hakisan. Kumpulan tersebut seterusnya mengikuti sesi jalan kaki di rentis hutan secara berpandu dan kanak-kanak tersebut turut berminat meneroka rentis kedua di Taman Tugu yang dikatakan lebih mencabar.

Kanak-kanak dari Home School Tribe benar-benar gembira menikmati sesi pembelajaran luar kelas ini yang menjadikan alam semula jadi sebagai tumpuan utama pelajaran. Menghabiskan masa dengan alam semula jadi dan mempelajari flora dan fauna negara kita sendiri akan membantu kanak-kanak menaikkan tempoh tumpuan, kemahiran berfikir secara kreatif, dan juga kecerdasan emosi untuk menjadikan seseorang individu itu lebih bersifat penyayang. Kanak-kanak tersebut juga mempelajari nilai warisan semula jadi negara kita dan usaha yang perlu diambil untuk memeliharanya.

Sesi pada hari tersebut berakhir dengan perkelahan di Forest House. Semasa perkelahan, kumpulan dari Home School Tribe ini langsung tidak menggunakan apa-apa barangan plastik, malah sisa yang ada dibawa pulang ke rumah.

Sesungguhnya kami berasa berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada pembelajaran di luar kelas bagi kanak-kanak tersebut. Kami juga berasa teruja untuk memainkan peranan sebagai kelas pembelajaran bagi lebih ramai kanak-kanak pada masa hadapan.

Jika anda berminat untuk melibatkan anak-anak anda dengan alam semula jadi atau anda berminat untuk mengambil bahagian secara sukarela dalam aktiviti projek Taman Tugu, sila kirimkan e-mel anda kepada greenscene@tamantuguproject.com.my.



top