Perkembangan Semasa

Kelas Terbuka Penjagaan Sungai Awam Taman Tugu bersama Global Environment Centre

Tarikh: 29 Januari 2019
Lokasi: Taman Tugu

Kami merasmikan kerjasama kami bersama Global Environment Centre (“GEC”) bagi program Kelas Terbuka Penjagaan Sungai dengan menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (“MoU”) bersama GEC Disember lalu.

Program Kelas Terbuka Penjagaan Sungai adalah sebuah program yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan sungai dan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan sungai-sungai serta saluran-saluran air. Anak sungai yang terdapat di laluan Fasa 2 akan digunakan sebagai tapak kelas program tersebut.

Sebagai sebahagian daripada kerja-kerja awalan bagi penubuhan program ini, GEC telah membantu kami memulih anak sungai tersebut untuk menyediakan tapak kelas yang sesuai bagi program ini.

Kami mulakan kerjasama kami bersama GEC dan tahun ini dengan 4 sesi Kelas Terbuka Penjagaan Sungai untuk kanak-kanak sepanjang bulan Januari ini. Lebih daripada 100 kanak-kanak yang berumur 6 hingga 15 tahun telah mempelajari mengenai sungai-sungai kita seperti dari manakah datangnya air sungai, bagaimana sungai mengalir, mereka juga mendapat peluang untuk menguji suhu air, paras oksigen, pH, dan kekeruhan air anak sungai kita, juga memerhati sebahagian daripada makro invertebrat bagi kawasan tanah lembap. Mereka juga mempelajari kepentingan sistem saliran longkang dan bagaimana ia bersambung ke sungai-sungai kita dan akhirnya ke laut. Ibu bapa yang mengiringi anak-anak mereka juga turut mengamibl manfaat dari program ini kerana mereka juga mengakui mereka mempunyai kurang pengetahuan tentang sungai dan sistem-sistem saliran air sebelum program ini dijalankan.

Matlamat Program Kelas Terbuka ini adalah untuk memupuk sifat kemasyarakatan yang lebih peka dan mampan terhadap penjagaan sungai serta semangat penghargaan dan cinta kepada alam sekitar yang kuat terutamanya kepada sumber sungai kita.

Kami dengan seikhlas hati berharap agar sesi-sesi kelas terbuka ini dapat menanamkan perasaan memiliki dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan juga bertindak sebagai platform untuk mendedahkan lagi orang ramai kepada alam semula jadi, memahami dari manakah datangnya air kita serta menghargainya. Usaha-usaha ini sememangnya adalah untuk masyarakat umum dan kami berharap agar mereka, secara tidak langsung akan menjadi pencinta dan penjaga alam, sesudah banyak meluangkan masa bersama alam semula jadi.

Kami akan menganjurkan sesi Kelas Terbuka Penjagaan Sungai untuk golongan dewasa pada 23 Februari. Memandangkan bilangan penyertaan bagi program ini adalah terhad, kami memohon bagi sesiapa yang berminat untuk mendaftarkan diri mereka secepat mungkin di https://goo.gl/forms/sI0jrK7rpQN6yDV73.

Kami dengan rendah hati ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada GEC atas kerjasama bagi menjayakan program ini.

Untuk informasi terkini mengenai program ini, sila ikuti kami Friends of Taman Tugu di Facebook atau Instagram. Sekiranya anda ingin menganjurkan program persendirian Kelas Terbuka Penjagaan Sungai ini, sila emel kami di greenscene@tamantuguproject.com.my.



top