Perkembangan Semasa

Kerja-kerja di Kawasan Surau Bermula

Tarikh: 30 Sept 2017
Tempat: Tapak Taman Tugu

Kerja-kerja di Kawasan Komuniti seluas 2.5 ekar di Taman Tugu yang merangkumi sebuah Surau Jumaat yang baharu, kuarters kediaman dan sebuah kawasan gerai makanan telah pun bermula.

Surau Jumaat baharu yang disasarkan perasmiannya menjelang Hari Kemerdekaan 2018 bertujuan memberikan kemudahan yang lebih baik kepada komuniti dan akan menggantikan Madrasah Bustanul Ulum (MBU) sedia ada yang digunakan secara meluas ketika Solat Jumaat. Surau ini dibina untuk kapasiti sehingga 2,000 orang termasuk kawasan  luar surau, dan aksesnya akan menjadi lebih mudah memandangkan ia akan ditempatkan di persimpangan Jalan Sultan Salahauddin dan Jalan Berjasa. Reka bentuk dan keperluan Surau Jumaat baharu ini telah dibangunkan berdasarkan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang telah meluluskan pelan ini. Sila ambil perhatian bahawa Madrasah Bustanul Ulum akan terus digunakan sehingga Surau Jumaat yang baru dibina siap dan berfungsi.

Dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan tapak kawasan komuniti, 23 pokok akan dikekalkan, 4 akan dipindahkan dan 4 akan dibuang – satu daripada 4 pokok yang akan dibuang ialah sebuah pokok Pulai besar yang telah tua dan mereput dengan berlalunya masa dan boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan orang ramai. Pengekalan, pemindahan dan pembuangan pokok dipandu oleh Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).  Di samping itu, lebih 200 pokok / tumbuhan telah diselamatkan melalui aktiviti pemindahan yang dilaksanakan oleh Persatuan Pencinta Alam (Malaysian Nature Society, “MNS”). Pokok/tumbuhan itu kini ditempatkan di tapak semaian MNS dan akan dibawa semula ke tapak sebaik sahaja pembinaan dilengkapkan. Sebagai sebahagian daripada usaha penjanaan semula hutan, lebih 50 pokok spesies hutan akan ditambahkan ke tapak kawasan komuniti dan ini termasuklah spesies terancam yang kritikal.

Kerja-kerja di tapak juga akan melibatkan perlindungan cerun di mana tumbuhan penutup bumi telah dibuang untuk membolehkan cerun diperbaik dan juga untuk memenuhi saiz yang diperlukan untuk Surau Jumaat baharu. Semua kerja asas dilaksanakan dengan mematuhi Pelan Pengurusan Alam Sekitar yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).



top