Perkembangan Semasa

Madrasah Bustanul Ulum Taman Tugu kini beroperasi

Tarikh: 18 Disember 2020

Lokasi: Taman Tugu

Kami berasa gembira dan bangga untuk mengumumkan bahawa Madrasah Bustanul Ulum Taman Tugu (“MBU”) (iaitu Surau-Jumaat Baharu di Taman Tugu) kini beroperasi di bawah pantauan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (“JAWI”).

Satu perjanjian telah ditandatangani dengan JAWI pada 11 Disember 2020 mengenai operasi Surau Baharu tersebut. Solat Jumaat yang pertama telah berjaya diadakan di Surau Baharu tersebut pada 18 Disember 2020. Tahniah dan syabas kepada Ahli Jawatan Kuasa MBU yang mengemudikan Solat tersebut dengan baik, sepertimana yang telah dikemudikannya sejak zaman permulaan MBU Lama. Seterusnya, Jawatankuasa tersebut akan terus menyelaraskan amanahnya terhadap operasi harian Surau Baharu ini di bawah seliaan pihak JAWI.

Mengikut sejarah, MBU Lama merupakan Surau-Jumaat yang telah beroperasi lebih daripada 50 tahun sekarang. Pada asalnya, ia beroperasi sebagai sebuah Madrasah kecil untuk kegunaan masyarakat Kuarters Kerajaan di tapak Taman Tugu suatu ketika dahulu. Ia kini telah berkembang menjadi Surau-Jumaat yang memenuhi keperluan pekerja pejabat Muslim di sekitarnya (seperti dari Bank Negara, Jabatan Kerja Raya dan lain-lain). Adalah harapan ikhlas kami agar Surau Baharu ini akan meneruskan legasi MBU untuk selama yang mungkin, insya-Allah.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan tertinggi kami kepada pihak JAWI dan Ahli Jawatankuasa MBU atas jasabudi dan kerjasama yang diberi dan berharap agar dapat terus bekerjasama ke arah kebaikan masyarakat.

Bagi mereka yang ingin melawat dan menunaikan solat di Surau Baharu, pihak kami ingin mengingatkan anda agar mematuhi SOP Penjarakan Sosial semasa seperti yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara dan semua pihak berkuasa yang berkaitan semasa berada di Surau Baharu tersebut.



top