Perkembangan Semasa

Mempertingkatkan Pengurusan Trafik di Tugu Negara

Bas-bas sedia ada memenuhi keseluruhan laluan, sekali gus menyesakkan lalu lintas
Akan dilaksanakan: Fasa 1 – Plaza Parkir Bas Tugu Negara (Ilustrasi)
Akan dilaksanakan:Fasa 2 – Plaza Pejalan Kaki Tugu Negara menghubungkan Tugu Negara dengan Taman Tugu (Ilustrasi)

Tarikh: 19 Jun 2018

Projek Taman Tugu mengandungi 4 komponen, iaitu:

  1. Taman Hutan Bandar: Pemuliharaan dan pengaktifan taman hutan bandar seluas 66 ekar, iaitu Taman Tugu
  2. Laluan Perantaraan: Menghubungkan kawasan sekitar dengan laluan mesra pejalan kaki
  3. Khazanah ILMU: Pembangunan sebuah pusat pembelajaran awam dan inovasi
  4. Amanah: Pewujudan sebuah amanah awam nasional untuk memiliki dan menguruskan taman hutan bandar seluas 66 ekar termasuk operasi, penyelenggaraan, perkongsian, dan pembangunan komuniti hingga tahun 2030

Laluan perantaraan merupakan komponen utama dalam mengaktifkan lagi Taman Tugu dan kawasan sekitarnya. Laluan perantaraan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif yang lebih meluas untuk menjalin fabrik bandar bagi kota raya Kuala Lumpur, sekali gus menjadikannya lebih mesra pejalan kaki dan seterusnya mempertingkatkan pengurusan trafik.

Satu daripada inisiatif di bawah komponen Laluan Perantaraan adalah untuk mempertingkatkan peredaran kenderaan dan pejalan kaki di sekitar Tugu Negara (National Monument).

Meskipun Tugu Negara dan kawasan sekitar berhampiran bukan sebahagian daripada Projek Taman Tugu, kami sedar dan peka bahawa Tugu Negara merupakan mercu tanda bersejarah yang amat bermakna dan terletak bersebelahan dengan Taman Tugu. Oleh itu, kami merasakan bahawa sebagai sebahagian daripada projek, kami perlu membantu dalam menguruskan kesesakan di sekitar Tugu Negara dan juga untuk memudahkan akses serta mempertingkatkan kesalinghubungan bagi pemandu kenderaan bermotor dan pejalan kaki yang menuju ke Tugu Negara dan Taman Tugu.

Pada hari biasa, terdapat lebih 20 bas persiaran yang membawa pelancong untuk berkunjung ke Tugu Negara dan terdapat hampir 1 juta pelancong yang melawat Tugu Negara pada setiap tahun. Berdasarkan kadar ketibaan pelancong yang tinggi, lalu lintas di kawasan tersebut boleh menjadi sesak terutamanya ketika musim puncak.

Kami telah bekerjasama dengan perancang induk Projek Taman Tugu dan arkitek landskap untuk mereka bentuk sebuah plaza yang berupaya memperbaik situasi ini. Reka bentuk yang diubah itu akan merangkumi ruang parkir bas khas, plaza pejalan kaki, dan ciri-ciri landskap yang akan menjadi pelengkap kepada Taman Tugu.

Pembinaan plaza tersebut juga akan menghubungkan dengan lebih berkesan Tugu Negara dengan Taman Tugu dan juga dengan Taman Botani Perdana (Perdana Botanical Garden/ Lake Gardens).

Kami berasa teruja untuk membawa reka bentuk ini menjadi realiti dan kami berharap setiap individu akan meraih manfaat daripada inisiatif ini.



top