Perkembangan Semasa

Pasukan PwC FS di Taman Tugu

Tarikh: 24 November 2018
Lokasi: Banglo Khazanah ILMU

Pasukan Perkhidmatan Kewangan (“FS”) PwC menghabiskan pagi Sabtu mereka dengan membantu kami membersihkan dan menanam tumbuhan tutup bumi hutan di rentis Fasa 2 yang akan dibuka kepada orang ramai pada bulan Disember tahun ini. 

Sesi bermula dengan satu taklimat mengenai Projek Taman Tugu dan selepas taklimat itu, kami membawa pasukan PwC FS mengikuti sesi berjalan kaki secara berpandu di sepanjang rentis Fasa 2. Sewaktu sesi berjalan kaki berlangsung, pasukan PwC FS mengutip sampah di sepanjang dan juga di sekitar rentis.  Tapak Taman Tugu telah menjadi kawasan pembuangan sampah haram ketika tapak tersebut ditinggalkan menjadi  kawasan terbiar pada tahun 1980-an.   

Ketika mewujudkan rentis Fasa 1, yang kini telah dibuka kepada orang ramai, kami membersihkan lebih 100 trak penuh sampah yang mengandungi runtuhan pembinaan, sampah isi rumah dan juga jarum-jarum yang dipercayai telah ditinggalkan oleh para penagih yang dahulunya kerap datang ke kawasan tapak. 

Kini, dalam proses mewujudkan rentis Fasa 2, kami telah membersihkan lebih 20 trak penuh sampah.  Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak lagi pembersihan yang perlu dilakukan. Pasukan PwC FS telah membersihkan lebih 10 beg guni yang dipenuhi sampah dalam waktu kurang satu jam ketika mereka berjalan kaki di sepanjang rentis Fasa 2.

Selepas berjalan kaki sejauh 2km, pasukan PwC FS menanam tumbuhan tutup bumi di sepanjang beberapa bahagian rentis. Tumbuhan tutup bumi diperlukan untuk menyeimbangkan lagi ekosistem dan menstabilkan bumi dengan mengukuhkan tanah, sekali gus menghalang berlakunya hakisan di samping menyerap lebihan air untuk menghalang rentis daripada menjadi becak.

Sesi berakhir dengan perkelahan makan tengah hari di Forest House di Tapak Semaian Taman Tugu.

Pasukan PwC FS berasa amat puas kerana mereka dapat menyaksikan impak yang dihasilkan mereka sendiri walaupun dalam jangka waktu yang singkat. Mereka menyatakan bahawa mereka ingin menawarkan diri  secara suka rela pada setiap suku tahunan untuk membantu dalam memelihara Taman Tugu. 

Kami berharap sesi-sesi seperti ini akan mencipta rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap Taman Tugu dan ruang hijau yang lain selain berperanan sebagai platform bagi pendedahan orang ramai kepada alam semula jadi dan membolehkan mereka menghargainya. Ini akan memerlukan usaha daripada mereka dan kami berharap dengan melibatkan mereka menghabiskan lebih banyak masa dengan alam semula jadi akan menjadikan mereka pelindung dan pemelihara alam semula jadi pada masa hadapan. 

Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang setulusnya kepada pasukan PwC FS atas usaha gigih mereka dan juga derma yang dihulurkan demi menyokong usaha pemeliharaan dan pemuliharaan Taman Tugu serta alam semula jadi. 

Jika anda berminat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti suka rela bagi projek Taman Tugu, sila kirimkan e-mel anda kepada kami di greenscene@tamantuguproject.com.my.



top