Perkembangan Semasa

Penambahan 25 ekar untuk dipulihara sebagai sebahagian Projek Taman Tugu

Genap setahun yang lalu, mantan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak melancarkan Projek Taman Tugu. Hari ini, mantan Perdana Menteri telah menanam pokok Belian di tapak Taman Tugu untuk menekankan komitmen berterusan Kerajaan terhadap pemuliharaan warisan dan alam sekitar demi manfaat generasi masa hadapan Malaysia.

Mantan Perdana Menteri, Tuan Abdullah Badawi dan isteri, Tun Jeanne; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan isteri; Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Tan Sri Shahrir Samad, Timbalan Menteri NRE, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur merupakan antara yang hadir memeriahkan program. Program tersebut juga dihadiri oleh wakil-wakil termasuk daripada rakan kongsi dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM). Ahli pelajar Kelab Pencinta Alam daripada Sekolah Kebangsaan Subang Bestari 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan membantu tetamu yang hadir menanam pokok Merbau di sekitar tapak majlis ini.

Program merupakan sebahagian daripada Hari Hasanah, iaitu satu inisiatif di bawah kempen “Negaraku, Negara Kita” oleh Khazanah Nasional, yang meraikan dan memperingati perjalanan dan kemajuan Malaysia sebagai sebuah negara, bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Ketika majlis berlangsung, Perdana Menteri menyampaikan tiga mesej utama:

  • Taman Tugu seluas 66 ekar akan diletakkan di bawah sebuah badan amanah awam, iaitu Amanah Warisan Negara (AWAN). AWAN akan memegang dan mengurus taman hutan bandar ini untuk selama-lamanya bagi dinikmati oleh orang ramai.
  • Penambahan tanah seluas 25 ekar, bersebelahan dengan Taman Tugu, untuk dipindahkan kepada Amanah Warisan Negara untuk dipelihara sebagai ruang hijau awam untuk selama-lamanya.
  • Akhir sekali, mantan Perdana Menteri mengumumkan pertandingan reka bentuk bangku dan pondok kecil (gazebo) yang akan ditempatkan di Taman Tugu. Pertandingan tersebut, yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia, diadakan dengan kolaborasi Institut Arkitek Landskap Malaysia, merupakan contoh yang jelas terhadap Perkongsian Awam-Swasta-Masyarakat Sivil (Public-Private-Civil Society Partnership).

Program tersebut berakhir dengan mantan Perdana Menteri menyusuri sebuah laluan hutan (trail walk) sebelum beliau bergerak menuju ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di Setapak. Di situ mantan Perdana Menteri merasmikan Gelanggang Cruyff bagi Seri Semarak dan Kg. Baru Air Panas. Program Gelanggang Cruyff merupakan usaha sama Yayasan Hasanah dan Yayasan Johan Cruyff.



top