Perkembangan Semasa

Pertandingan Reka Bentuk Greenovation Pengumuman 20 Peserta Akhir Terbaik

Tarikh: 22 November 2017

Terima kasih atas minat semua terhadap Pertandingan Reka Bentuk Greenovation yang dianjurkan oleh Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Institut Arkitek Landskap Malaysia (Institute of Landscape Architects Malaysia, ILAM). Kami menerima lebih 200 reka bentuk yang amat menggalakkan dan mengujakan daripada pelajar dan juga pengamal di seluruh Malaysia.

Pertandingan ini dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak pada 4hb September di Taman Tugu semasa program Hari Hasanah oleh Khazanah Nasional. Mantan Perdana Menteri juga telah menanam satu pokok Belian pada hari itu. Mantan Perdana Menteri menggalakan rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pertandingan reka bentuk ini kerana penyertaan rakyat akan membolehkan mereka memberikan sumbangan yang bermakna terhadap projek Taman Tugu.

Selepas beberapa sesi penyenaraian pendek yang ketat, kami berbangga untuk mengumumkan 20 peserta akhir terbaik (10 untuk pertandingan reka bentuk bangku taman dan 10 lagi untuk pertandingan reka bentuk gazebo) seperti yang disenaraikan di bawah. Suatu sesi penjurian akhir, yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun hadapan, bakal menampilkan 20 peserta Terbaik ini mempersembahkan reka bentuk masing-masing. Tiga reka bentuk terbaik dan muncul pemenang daripada setiap kategori (bangku taman dan gazebo) akan dibina dan ditempatkan di seluruh kawasan taman. Kami akan memberikan maklumat terkini kepada semua peserta akhir secara berasingan tentang tarikh sebenar sesi penjurian akhir ini.

Sementara itu, terdapat pameran reka bentuk yang dihasilkan oleh 20 peserta akhir terbaik ini. Ini merupakan peluang bagi orang ramai untuk mengundi reka bentuk terbaik pilihan mereka. Undi awam ini akan menyumbang kepada pusingan penjurian akhir. Maklumat tarikh dan tempat pameran akan dikemaskinikan di laman sesawang ini.

Peserta akhir disenaraikan tidak berdasarkan susunan tertentu. Satu sesi taklimat peserta akhir akan diadakan pada 7 Disember 2017. Kami akan menghubungi anda secara berasingan untuk maklumat lanjut.



top