Perkembangan Semasa

Pico Group (“Pico”) di Taman Tugu

Tarikh: 14 Disember 2018
Lokasi: Taman Tugu

Sebagai sebahagian daripada persidangan tahunan Pico selama 3 hari, lebih 200 eksekutif senior daripada Pico membantu kami dalam memulakan program pemuliharaan dan penjanaan semula hutan di rentis Fasa 3, yang disasarkan siap menjelang akhir tahun 2019/awal 2020.

Sebanyak 14 pokok, yang kesemuanya mempunyai ketinggian melebihi 2m, dan lebih 200 tumbuhan tutup bumi telah ditanam di kawasan brown field seluas hampir 2,000 kaki persegi. Ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk memelihara lebih 5,000 pokok hutan asli Malaysia di Taman Tugu. Antara 5,000 pokok tersebut, 1,000 pokok dianggap sebagai spesies terancam atau terancam secara kritikal dalam Senarai Merah International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Bagi menyemaikan lagi penghayatan kerja berpasukan antara rakan sekerja, kumpulan Pico membahagikan diri kepada beberapa kumpulan dan melaksanakan pertandingan menanam antara kumpulan.

Kumpulan 3 berjaya muncul pemenang didorong oleh faktor koordinasi dan kecekapan pasukan walaupun sebenarnya ahli pasukan ini tidak pernah bekerjasama antara satu sama lain sebelum ini.

Meskipun mereka tidak mempunyai banyak pengalaman dalam mengorek lubang yang dalam untuk menanam pokok besar, kumpulan daripada Pico melaksanakan tugasan mereka dengan penuh kemahiran dalam masa kurang 30 minit.

Selepas aktiviti tersebut, kumpulan daripada Pico ini dibawa untuk mengikuti sesi berjalan kaki berpandu di Tapak Semaian Taman Tugu melalui rentis Fasa 1 dan Fasa 2 yang telahpun dibuka kepada orang ramai.

Kami berharap dapat terus menjadi juruacara kepada sesi seperti ini untuk menyuntik rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap alam sekitar dan alam semula jadi. Kami juga berhasrat menjadi platform yang membolehkan orang ramai didedahkan kepada alam semula jadi dan sekali gus memahami usaha yang diperlukan untuk memulihara ruang hijau negara kita, tanpa menggunakan apa-apa jentera berat. Hakikatnya usaha yang digembleng ini adalah untuk orang ramai. Kami berharap dengan melibatkan orang ramai untuk meluangkan lebih banyak masa bersama alam semula jadi, mereka akan menjadi pelindung dan pemelihara alam semula jadi pada masa hadapan.

Kami ingin merakamkan penghargaan yang setulusnya kepada pasukan Pico atas usaha gigih mereka dan juga derma yang dihulurkan bagi membantu usaha pemeliharaan, penjanaan semula dan pemuliharaan Taman Tugu dan alam semula jadi.

Jika anda berminat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sukarela bagi projek Taman Tugu, sila kirimkan e-mel anda kepada kami di greenscene@tamantuguproject.com.my.



top