Balau Bukit

Balau Bukit

Nama Saintifik: Shorea foxworthyi
Nama Keluarga: Dipterocarpaceae

Pokok Balau Bukit di Taman Tugu
Balau Bukit adalah sejenis pokok hutan hujan asli dimana ianya juga merupakan salah satu daripada 4,100 pohon pokok yang ditambah ke tapak Taman Tugu, dipilih dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (“MNS”). Ia juga diantara spesis pokok yang ditambah yang diklasifikasi sebagai ‘Sangat Terancam’ dalam Senarai Merah Spesis Terancam International Union for Conservation of Nature (“IUCN”) kerana spesis ini sering ditebang untuk kayu ‘Balau Merah’nya.

Ciri-ciri fizikal
Pokok Balau Bukit adalah pokok renjong yang mempunyai silara tebal, berbentuk hemisfera tidak seragam dan mampu tumbuh sehingga 60m tinggi. Batang pokok berbentuk silinder yang lurus boleh mencecah sehingga 120cm diameter dengan jejalur langsing menyebar sehingga 3m. Daunnya berbentuk eliptik, dan bertekstur kulit. Stipulnya berbentuk eliptik halus ke falkat, separa tirus, mudah gugur. Kelopak-kelopak bunganya berwarna krim, merah pucat di dasar, panjang, berbulu pendek padat di luar, dan berbulu jarang di dalam. Panikelnya adalah terminal atau aksil, pendek, berkedut apabila kering, berbulu lembut keemasan yang sentiasa mengerbang sama rata, rantingnya mempunyai sehingga 3 bunga.

Kegunaan
Pokok ini adalah sumber bagi kayu ‘Balau Merah’. Kayu ini mempunyai pelbagai kegunaan termasuklah pembinaan ringan, kerja-kerja lantai, kerja-kerja tanggam luaran, alatan muzik, kotak dan peti.

Habitat
Pokok-pokok ini pada kebiasaannya bertaburan, kadang-kala setempat, di dalam hutan dipterokarpa campuran; tumbuh di dalam tanah liat kuning dan tanah liat berpasir di kawasan beralun atau berbukit; pada paras ketinggian di bawah 700m. Pokok-pokok ini berasal dari Malaysia, Brunei, Indonesia, dan Thailand.