Light Red Meranti

Light Red Meranti

Nama saintifik: Shorea johorensis
Nama keluarga: Dipterocarpaceae

Pokok Light Red Meranti di Taman Tugu
Pokok Light Red Meranti adalah sejenis pokok hutan hujan asli dimana ianya juga merupakan salah satu daripada 4,100 pohon pokok yang ditambah ke tapak Taman Tugu, dipilih dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (“MNS”). Ia juga diantara spesis pokok yang ditambah yang diklasifikasi sebagai ‘Sangat Terancam’ dalam Senarai Merah Spesis Terancam International Union for Conservation of Nature (“IUCN”). Spesis ini terancam oleh kerana pembalakan.

Ciri-ciri fizikal
Pokok ini merupakan pokok bersaiz besar yang mampu tumbuh sehingga 50m tinggi dan 160cm diameter dan mempunyai jejalur sehingga 3m tinggi. Kulitnya berwarna perang dengan permukaan yang bersisik nipis seperti kertas. Daun pokok in tersusun selari dan berbentuk bujur, berukuran lebih kurang 12cm panjang dan 6cm lebar. Daunnya mempunyai urat tersusun secara lateral, dimana ianya lebih jelas pada permukaan bawah daun. Pokok ini menghasilkan bunga-bunga kecil yang berjambak yang mengandungi beberapa bunga kecil. Setiap bunga berwarna kuning pudar dan mempunyai 15 stamen. Buah pada pokok ini seperti kayu dan mempunyai cuping kelopak seperti sayap. Terdapat 3 cuping kelopak yang panjang dan 2 cuping kelopak yang lebih pendek. Kekacangnya pula berbentuk bujur dengan muncung yang tajam.

Kegunaan
Kayu pokok ini digunakan untuk beberapa kegunaan termasuklah kerja-kerja panel dalaman dan luaran dan kerja-kerja tanggam, kerja kayu ringan, pembuatan kotak dan peti. Damarnya digunakan untuk menyalut bot dan bakul, sebagai pelekat, ubat-ubatan, bahan api untuk obor dan kadang-kala digunakan dalam makanan.

Habitat
Pokok-pokok ini sering dijumpai di kawasan persisiran sungai bertanah liat dan berpasir dalam hutan. Pokok Light Red Meranti ini berasal daripada Malaysia, Singapura dan Borneo.