Meranti Belang

Meranti Belang

Nama saintifik: Shorea resinosa
Nama keluarga: Dipterocarpaceae

Pokok Meranti Belang di Taman Tugu
Pokok Meranti Belang adalah sejenis pokok hutan hujan asli dimana ianya juga merupakan salah satu daripada 4,100 pohon pokok yang ditambah ke tapak Taman Tugu, dipilih dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (“MNS”). Ia juga diantara spesis pokok yang ditambah yang diklasifikasi sebagai ‘Sangat Terancam’ dalam Senarai Merah Spesis Terancam International Union for Conservation of Nature (“IUCN”). Spesis ini terancam kerana aktiviti penebangan hutan.

Ciri-ciri fizikal
Meranti Belang adalah pokok bersaiz besar yang mempunyai silara berbentuk hemisfera yang mampu tumbuh sehingga 50m tinggi dan 125cm diameter. Batang pokoknya yang lurus, berbentuk silinder boleh bebas dari dahan-dahan sehingga 20m tinggi dan boleh mempunyai jejalur yang besar atau tidak sama sekali. Kulit batang pokoknya berwarna perang kekelabuan dan mempunyai permukaan yang licin atau berkelupas. Dedaunnya berbentuk bujur lebar, berukuran lebih kurang 9cm panjang dan 5cm lebar. Bunga-bunganya tidak teratur, wangi, dan berwarna krim ke merah jambu. Tunas bunganya berbentuk ovoid dan kelopak bunganya berbentuk falkat bujur berwarna putih dengan sedikit merah jambu atau merah jambu ke kemerahan pada bahagian bawah.

Kegunaan
Pokok ini dituai dari hutan untuk kayunya. Pokok ini menghasilkan kayu yang tahan lama dan pada kebiasaannya digunakan untuk pembinaan dan perhasilan perabot.

Habitat
Pokok-pokok ini pada kebiasaannya dijumpai dikawasan yang beralun atau berbukit sehingga paras ketinggian 500m dari aras laut. Pokok-pokok ini berasal dari Semenanjung Malaysia, Sumatera, dan Borneo.