Meranti Daun Besar

Meranti Daun Besar

Nama saintifik: Shorea hemsleyana
Nama keluarga: Dipterocarpaceae

Pokok Meranti Daun Besar di Taman Tugu
Pokok Meranti Daun Besar adalah sejenis pokok hutan hujan asli dimana ianya juga merupakan salah satu daripada 4,100 pohon pokok yang ditambah ke tapak Taman Tugu, dipilih dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (“MNS”). Ia juga diantara spesis pokok yang ditambah yang diklasifikasi sebagai ‘Sangat Terancam’ dalam Senarai Merah Spesis Terancam International Union for Conservation of Nature (“IUCN”). Spesis ini terancam kerana aktiviti penebangan hutan.

Ciri-ciri fizikal
Meranti Daun Besar adalah pokok bersaiz sederhana yang mempunyai silara berbentuk hemisfera yang pada kebiasaannya tumbuh sehingga 20m tinggi dan 40cm diameter. Daun besarnya berbentuk eliptik-bujur ke obovat-bujur. Bunganya berwarna merah kemerah jambuan dan boleh didapati dengan banyak di lantai hutan semasa musim bunga. Buahnya besar dengan kacang berbentuk ovoid atau silinder dan mempunyai sayap yang asas.

Kegunaan
Kayunya digunakan untuk penghasilan perabot. Lemak yang diperolehi daripada bijinya boleh dimakan dan adalah sama seperti lemak biji kakao yang boleh digunakan untuk merawat masalah kulit, untuk membuat sabun, lilin, dan produk kosmetik.

Habitat
Pokok-pokok ini tumbuh dikawasan bertanah liat atau berpasir yang mempunyai saliran yang baik didalam hutan, paya, kawasan bertanah aluvium, lereng-lereng bukit dan rabung sehingga paras ketinggian 600m tinggi. Pokok-pokok tropika ini ditemui di Malaysia, Indonesia, dan Thailand.