Nyalas

Nyalas

Nama saintifik: Parastemon urophyllus
Nama keluarga: Rosaceae

Pokok Nyalas di Taman Tugu
Pokok Nyalas adalah sejenis pokok hutan hujan asli dimana ianya juga merupakan salah satu daripada 4,100 pohon pokok yang ditambah ke tapak Taman Tugu, dipilih dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (“MNS”). Ia juga diantara spesis pokok yang ditambah yang diklasifikasi sebagai ‘Sangat Terancam’ dalam Senarai Merah Spesis Terancam International Union for Conservation of Nature (“IUCN”). Spesis ini terancam kerana aktiviti penebangan hutan.

Ciri-ciri fizikal
Pokok ini merupakan pokok bersaiz besar yang mampu tumbuh sehingga 35m tinggi. Kulitnya licin dan berwarna keperangan. Dedaunnya berwarna hijau terang bertekstur seperti kulit nipis berbentuk bujur yang halus. Pokok ini menghasilkan bunga yang mempunyai 5 kelopak setiap satu. Buahnya berbentuk elipsoid, berukuran lebih kurang 1cm panjang dan berwarna kekuningan yang berubah ke merah jambu apabila ranum.

Kegunaan
Kayunya adalah kayu keras berat yang digunakan dalam kerja-kerja pembinaan dan sebagai kayu api.

Habitat
Pokok-pokok ini tumbuh dikawasan hutan paya bakau, tebing sungai, persisiran pantai, dan hutan sekunder bertanah kurang elok. Pokok-pokok ini ditemui di Semenanjung Malaysia, Singapura, Borneo, dan Sumatera.