Penarahan

Penarahan

Nama saintifik: Knema Hookeriana
Nama keluarga: Myristicaceae

Pokok Penarahan di Taman Tugu
Pokok Penarahan adalah sejenis pokok hutan hujan asli dimana ianya juga merupakan salah satu daripada 4,100 pohon pokok yang ditambah ke tapak Taman Tugu, dipilih dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (“MNS”). Ia juga diantara spesis pokok yang ditambah yang diklasifikasi sebagai ‘Sangat Terancam’ dalam Senarai Merah Spesis Terancam International Union for Conservation of Nature (“IUCN”). Spesis ini terancam kerana aktiviti penebangan hutan.

Ciri-ciri Fizikal
Pokok ini merupakan pokok bersaiz besar yang mampu tumbuh sehingga 30m tinggi dengan batang pokok yang kurus, bersilara berbentuk kon, dan kulit batang berkelupas. Dedaunnya tersusun secara berselisih dan dedaunnya yang bertangkai mempunyai bilah daun bertekstur seakan-akan kulit yang berbentuk seperti mata tombak. Bilah dedaunnya yang muda dilitupi dengan bebulu kasar yang luruh mengikut usia. Kelompok bunganya mengandungi sehingga 20 bunga jantan, manakala kelompok bunga betinanya mengandungi sehingga 10 bunga betina. Kedua-dua bunga jantan dan betina dilitupi bulu dengan padat. Buah-buahannya berbentuk telur dan dijumpai dalam kelompok 1-3, dengan bulu tebal berwarna perang kekuningan. Bijinya berwarna merah terang dengan kulit yang berisi.

Kegunaan
Kayunya yang agak tahan lama digunakan untuk pembinaan penyokong bumbung atau rumah.

Habitat
Pokok-pokok ini tumbuh didalam hutan primer dan hutan-hutan yang terdegradasi di puncak-puncak rabung, dan lereng-lereng bukit, dari tanah rendah ke ketinggian 800m tinggi. Pokok-pokok ini berasal dari Malaysia, Singapura, Thailand, Sumatera, dan Borneo.