Rambai

Rambai

Nama saintifik: Baccaurea motleyana
Nama keluarga: Phyllanthaceae (Euphorbiaceae)

Pokok Rambai di Taman Tugu
Pokok Rambai adalah sejenis pokok hutan hujan asli dimana ianya juga merupakan salah satu daripada 4,100 pohon pokok yang ditambah ke tapak Taman Tugu, dipilih dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (“MNS”). Ia juga diantara spesis pokok yang ditambah yang diklasifikasi sebagai ‘Sangat Terancam’ dalam Senarai Merah Spesis Terancam International Union for Conservation of Nature (“IUCN”). Spesis ini terancam kerana aktiviti penebangan hutan.

Ciri-ciri Fizikal
Pokok ini merupakan pokok bersaiz sederhana yang mampu tumbuh sehingga 25m tinggi dan 40cm diameter. Pokok ini mempunyai bentuk silara yang rendah yang boleh tumbuh dengan lebat. Dedaunnya tersusun secara bersilih, bertangkai panjang mempunyai bilah daun seakan kulit yang berbentuk eliptik atau obovat, berukuran lebih kurang 13-37cm panjang dan 5-15cm lebar. Pokok ini menghasilkan bunga-bunga kecil berwarna hijau kekuningan yang wangi dan tergantung pada pucuk berbunga tunggal atau sehingga 5 didalam satu kelompok. Pokok ini juga menghasilkan buah-buahan berbiji 3 yang berwarna kuning keperangan berukuran lebih kurang 4cm lebar. Setiap biji dilitupi aril berwarna putih lutsinar atau keunguan yang boleh dimakan.

Kegunaan
Buah-buahannya dimakan mentah, dijadikan minuman, atau kadang-kala dijeruk untuk dihidangkan bersama kari. Selain dari buah-buahannya, perahan kambium dan kulit kayu dalamannya digunakan sebagai ubatan untuk sakit mata.

Habitat
Pokok-pokok ini tumbuh dihutan bertanah rendah dan bukit berketinggian sehingga 900m tinggi dan berasal dari Semenanjung Malaysia, Singapura, Sumatera, dan Borneo.