Perkembangan Semasa

Sambutan Ulang Tahun ke-20 GEC @ Taman Tugu

Tarikh: 29 November 2018
Lokasi: Rentis Fasa 2 Taman Tugu

Global Environment Centre (“GEC”) meraikan ulang tahunnya yang ke-20 di Malaysia dengan melaksanakan program pemulihan sungai di rentis Fasa 2 Taman Tugu yang akan dibuka kepada orang ramai menjelang akhir bulan Disember tahun ini.

Sesi tersebut melibatkan proses mengenal pasti sumber anak sungai dan seterusnya membersihkan kawasan tersebut dan beberapa kawasan di anak sungai ini untuk memastikan kebersihan dan aliran air yang lancar. Kemudian, tumbuhan akuatik yang juga penapis air semula jadi, seperti Kiambang (Water Lettuce) dan Keladi Lembayung (Water Hyacinth), ditanam di badan air (water body) manakala pokok Cattail (ekor kucing) dan Coco-Yam (keladi) ditanam di tepian sungai.

Selepas aktiviti tersebut, pasukan GEC dibawa untuk mengikuti sesi berjalan kaki secara berpandu menuju Tapak Semaian Taman Tugu melalui rentis Fasa 1 yang telahpun dibuka kepada orang ramai.

Kami sedang berkolaborasi dengan GEC untuk membangunkan Pusat Pendidikan Terbuka Sungai Taman Tugu (Taman Tugu River Open Education Centre), yang merupakan sebuah pembelajaran di luar kelas yang menumpukan pemuliharaan sungai – menyediakan pendidikan tentang kepentingan laluan air (waterway) tempatan kita dan memperkasakan orang ramai untuk melindungi laluan air daripada pencemaran. Matlamat kelas pembelajaran adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang prihatin terhadap sungai, yang mempunyai nilai alam sekitar yang utuh dan lebih mampan dari segi alam sekitar terutamanya berkaitan dengan sumber sungai negara kita.

Kami berharap sesi pembelajaran di luar kelas ini akan menyemai sikap bertanggungjawab dan keprihatinan terhadap alam sekitar dan alam semula jadi selain berfungsi sebagai platform bagi orang ramai untuk memperoleh pendedahan kepada alam semula jadi, memahami dari mana datangnya sumber air kita, dan menghargainya. Pelbagai usaha ini adalah untuk orang ramai dan kami berharap dengan melibatkan mereka untuk menghabiskan lebih banyak masa dengan alam semula jadi, mereka akan menjadi pelindung dan pemelihara alam semula jadi pada masa hadapan.

Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang setulusnya kepada GEC atas kolaborasi ini dan juga kerana membantu kami dalam usaha pemuliharaan ini bagi menyediakan tapak tersebut sebagai sebuah pusat pendidikan terbuka.

Jika anda berminat atau ingin melibatkan anak anda untuk mengambil bahagian dalam program Pusat Pendidikan Sungai Terbuka, sila kirimkan e-mel anda kepada kami di greenscene@tamantuguproject.com.my.



top