Perkembangan Semasa

Sesi Interaksi bersama Komuniti Larian

Tarikh: 4 Okt 2017
Tempat: Tapak Taman Tugu

Pasukan Projek Taman Tugu telah mengadakan sesi interaksi bersama komuniti larian Kuala Lumpur dan para penganjur acara larian. Matlamat sesi tersebut adalah untuk memberikan perincian lanjut kepada komuniti tentang Projek Taman Tugu selain mendengar maklum balas mereka berkaitan dengan projek, terutamanya berkaitan dengan kawasan parkir kereta berbilang tingkat di Padang Merbok.

Daripada maklum balas yang diterima, pasukan Projek akan menganjurkan satu lagi sesi bersama komuniti larian untuk mengumpul idea dan buah fikiran mereka tentang reka bentuk parkir kereta berbilang tingkat sebaik sahaja pengkonsepsiannya dihasilkan. Ini adalah untuk memastikan bahawa parkir kereta baharu tersebut merupakan ruang yang kondusif untuk menganjurkan maraton dan larian. Pada masa ini, parkir kereta Padang Merbok digunakan sebagai titik permulaan bagi pelbagai acara maraton dan larian, seperti CIMB Colour Run (13 Ogos 2017), Love Myself Run (22 Okt 2017), Allianz Pacesetters (4 Nov 2017), Annual Charity Walk/Jog/Wheel-A-Thon With the Disabled (12 Nov 2017), antara beberapa acara yang telah dan akan dianjurkan.

Sesi interaksi seperti ini menyumbang kepada pembentukan elemen yang lebih baik dalam Projek Taman Tugu selain memastikan bahawa ruang awam yang diwujudkan digunakan secara optimum dan tidak menjejaskan pengguna semasa dan akan datang. Sesi-sesi sebegini diadakan untuk bertukar-tukar idea dan mewujudkan kolaborasi lebih baik dalam usaha memulihara alam sekitar kita dan mengaktifkan penggunaan ruang awam. Lebih banyak perbincangan dengan organisasi-organisasi lain akan diadakan untuk memastikan keinklusifan dalam pembangunan taman, kesalinghubungan dan elemen lain projek secara keseluruhan. Sila berhubung dengan kami jika anda ingin mengadakan perbincangan.



top