Soalan Lazim

Kemas Kini Terakhir 24/3/2017

1. Apakah Projek Taman Tugu?

2. Apakah perancangan untuk bahagian taman Projek Taman Tugu ini?

3. Di manakah tapak Taman Tugu? Adakah Taman Tugu mencakup Tugu Negara atau Taman Botani Perdana?

4. Adakah sebuah lagi kawasan hijau baharu diperlukan di kawasan bandar raya Kuala Lumpur?

5. Siapakah yang akan mengurus dan menyelenggarakan taman apabila taman ini telah siap?

6. Siapakah pemilik Taman Tugu? Apakah yang dimaksudkan dengan badan amanah awam?

7. Apakah unsur-unsur kawalan keselamatan yang diambil kira untuk Projek Taman Tugu?

8. Apakah yang dimaksudkan dengan “perhubungan” dalam Projek Taman Tugu?

9. Apakah manfaat utama Projek Taman Tugu?

10. Apakah proses penganugerahan kontrak untuk Projek Taman Tugu?

11. Apakah peranan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (“MNS”) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dalam Projek Taman Tugu?

12. Apakah unsur-unsur kawalan keselamatan yang telah diambilkira untuk Projek Taman Tugu?

13. Apakah peranan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (“MNS”) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dalam Projek Taman Tugu?


1. Apakah Projek Taman Tugu?

Projek Taman Tugu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (“CSR”) bukan bermatlamatkan keuntungan dalam pelbagai komponen yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta disokong oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Secara keseluruhan, pembiayaan sehingga RM650 juta telah diperuntukkan untuk projek ini, meliputi komponen-komponen yang berikut:

  1. Pemuliharaan dan pengaktifan tapak hutan hujan seluas 66 ekar (~RM190 juta) dan ini merangkumi:
    • Pemuliharaan kira-kira 800 pokok yang sedia ada
    • Mempertingkatkan kawasan hijau dengan menanam lebih 4,000 pokok hutan hujan tempatan, yang dibekalkan oleh tapak semaian tempatan di seluruh negara
    • Rentis untuk berjalan dan berlari di sekitar kawasan; di sepanjang tasik, anak sungai dan kawasan bukit
    • Kawasan permainan kanak-kanak termasuk kawasan permainan berair
    • Sebuah menara tinjau latar langit dan sebuah jambatan gantung
    • Kawasan aktiviti luar termasuk aktiviti seperti “zip-lines”
    • Ruang acara dan kawasan perkhemahan
    • Parkir di tiga lokasi serta perkhidmatan kereta “buggy”
    • Medan selera tepian tasik yang menghidangkan sajian dan masakan tempatan
    • Pembinaan semula surau Solat Jumaat dan kuil Hindu sedia ada
    • Pusat Pendidikan Hutan Hujan untuk menggalakkan pembelajaran dan penghayatan mengenai hutan hujan tempatan
    • Ciri-ciri keselamatan; laluan boleh akses untuk golongan kurang upaya
  2. Menambah baik kesalinghubungan dengan kawasan persekitaran (~RM175 juta) – melibatkan beberapa laluan mesra pejalan kaki terlindung sepanjang hampir dua kilometer:
    • Laluan dari Stesen Komuter KTM Bank Negara ke pintu masuk utama Taman Tugu
    • Laluan bawah tanah dari Taman Tugu ke Taman Botani Perdana
    • Dek pejalan kaki dari KL Sentral ke Muzium Negara dan Taman Botani Perdana
  3. Pembangunan sebuah pusat pembelajaran dan inovasi (~RM185 juta) yang merangkumi:
    • Perpustakaan awam yang sesuai untuk pelbagai usia dan bidang minat
    • Galeri seni awam dan ruang pameran
    • Ruang bekerja bersama (co-working) dan ruang kreatif (maker spaces)
    • Kawasan pembelajaran dan ruang kolaboratif
    • Auditorium dan bilik program pembelajaran berterusan
    • Kos menjalankan program (Programming) dan mobilisasi sehingga tahun 2030
  4. Penubuhan Badan Amanah Awam yang merangkumi operasi, penyelenggaraan taman, kerjasama dengan pelbagai pihak dan pembangunan komuniti sehingga tahun 2030 (RM100 juta) dan ini meliputi:
    • Penubuhan sebuah badan amanah awam untuk memulihara taman hutan hujan seluas 66 ekar (komponen 1 di atas) sebagai ruang hijau awam yang kekalRM100 juta yang diperuntukkan juga akan mencakup semua operasi, penyelenggaraan, kerjasama dengan pelbagai pihak dan pembangunan komuniti untuk taman hutan hujan bandar sehingga tahun 2030.
    • Badan Amanah Awam ditubuhkan sedemikian agar aset-aset berkepentingan warisan kebangsaan lain yang memerlukan perlindungan dapat dimasukkan.

2. Apakah perancangan untuk bahagian taman Projek Taman Tugu ini?

Projek ini akan menjana semula taman hutan hujan bandar yang dilengkapi pelbagai kemudahan selain menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik kepada pelbagai komuniti .

Pada masa ini, sebahagian besar tapak taman ini merupakan kawasan hutan sekunder yang tidak mudah diakses dan tidak selamat untuk dilawati oleh orang ramai. Hutan sekunder mempunyai biodiversiti tumbuhan dan hidupan liar yang lebih rendah berbanding dengan hutan primer. Kira-kira 1,000 pokok yang sihat dan sesuai di kawasan sedia ada telah dikenal pasti dan dilabelkan untuk tujuan pemuliharaan.  Di samping itu, sekurang-kurangnya sejumlah 4,000 pokok hutan hujan tempatan yang sesuai dengan tapak akan ditanam di sini untuk membolehkan tapak ini berkembang menjadi sebuah ekosistem hutan hujan yang mampan. Semak samun liar dan pokok yang telah reput akan disingkirkan.

Projek Taman Tugu juga akan memastikan orang ramai dapat mengakses dan menikmati tapak melalui penyediaan kemudahan seperti rentis untuk berjalan dan berlari, pusat pendidikan hutan hujan, kawasan permainan untuk kanak-kanak, ruang perniagaan makanan dan minuman serta aktiviti luar (outdoor activities).

Tapak ini juga menempatkan Rumah Kelab Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD), pejabat Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia), sebuah surau dan beberapa buah kuil Hindu, yang semuanya akan dikekalkan di dalam kawasan taman di bawah Projek Taman Tugu.


3. Di manakah tapak Taman Tugu? Adakah Taman Tugu mencakup Tugu Negara atau Taman Botani Perdana?

Pada masa ini, tapak Taman Tugu ialah kawasan seluas 66 ekar yang tidak dapat diakses  dan terletak di belakang Tugu Negara. Meskipun Taman Tugu tidak melibatkan kawasan Tugu Negara sendiri atau Taman Botani Perdana sedia ada, Taman Tugu akan dihubungkan ke Taman Botani Perdana melalui laluan bawah tanah, sekali gus  mewujudkan ruang hijau yang berdampingan seluas kira-kira 290 ekar.


4. Adakah sebuah lagi kawasan hijau baharu diperlukan di kawasan bandar raya Kuala Lumpur?

Salah satu aspek yang paling penting tetapi sering diabaikan dalam usaha mewujudkan persekitaran bandar yang lebih menarik dan sihat ialah rangkaian taman yang direka bentuk dan diselenggarakan dengan cekap dan berkesan. Taman-taman bandar seperti Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa dan taman yang akan muncul tidak lama lagi, iaitu Taman Tugu, memainkan peranan yang penting dalam menyokong kesihatan awam, alam sekitar, pendidikan, dan memupuk semangat kemasyarakatan. Taman-taman ini menjadikan bandar raya kita lebih mampan, berdaya huni, menarik dan ceria.

Dengan mempertingkatkan dan menambah baik rangkaian hijau di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur serta menjadikannya mudah diakses, penduduk serta pelawat akan dapat mengalami dan menikmati secara percuma salah satu warisan negara kita yang terbaik, iaitu hutan hujan tempatan.


5. Siapakah yang akan mengurus dan menyelenggarakan taman apabila taman ini telah siap?

Apabila beroperasi pada 2018, Taman Tugu akan dipindah milik ke sebuah badan amanah awam supaya taman ini kekal terpelihara sebagai ruang hijau awam untuk selama-lamanya. Taman ini seterusnya akan diselenggarakan oleh sebuah badan pengurusan profesional yang dilantik oleh Lembaga Pemegang Amanah badan tersebut. Antara tugas badan pengurusan tersebut termasuklah pengumpulan dana serta penyelenggaraan dan penjagaan harian taman.

Untuk merealisasikan konsep taman ini, langkah perancangan perniagaan dan pemodelan kewangan telah dijalankan untuk memastikan komponen taman daripada Projek Taman Tugu dapat dikendalikan dan diselenggarakan secara bebas, profesional dan mampan.

Satu peruntukan juga telah disediakan bagi operasi dan penyelenggaraan taman sehingga tahun 2030. Ini telah diambil kira berdasarkan langkah perancangan perniagaan dan pemodelan kewangan yang dikendalikan yang mengambil kira komponen seperti kos gaji, utiliti, keselamatan, kebersihan, penyelenggaraan, haus dan lusuh (wear-and-tear) dan juga kos pengaktifan program.


6. Siapakah pemilik Taman Tugu? Apakah yang dimaksudkan dengan badan amanah awam?

Komponen Projek Taman Tugu seluas 66 ekar pada masa ini ialah tanah milik kerajaan dan akan dipindah milik kepada sebuah badan amanah awam. Penubuhan sebuah badan amanah awam dan pemindahan hak milik Taman Tugu kepada badan amanah ini akan membolehkan taman ini diuruskan secara profesional dan mampan pada masa hadapan.


7. Apakah unsur-unsur kawalan keselamatan yang diambil kira untuk Projek Taman Tugu?

Pertama, unsur-unsur keselamatan telah diterapkan dalam proses reka bentuk semua komponen projek termasuk taman, perhubungan serta pusat pembelajaran dan inovasi. Ini termasuk memastikan kewujudan garis penglihatan yang tidak terhalang, mengurangkan kawasan tersembunyi dan menggabungkan pengawasan semula jadi dan perimeter di seluruh taman termasuk kawasan permainan kanak-kanak.

Di samping itu, langkah seperti sistem pengawasan dan kewujudan kakitangan keselamatan di Projek Taman Tugu juga telah diperuntukkan dalam semua komponen proses perancangan. Keselamatan semua pengunjung ialah keutamaan kami dan aspek ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa sepanjang pembangunan dan pelaksanaan Projek Taman Tugu.


8. Apakah yang dimaksudkan dengan “perhubungan” dalam Projek Taman Tugu?

Selain mewujudkan taman hutan hujan bandar, Projek Taman Tugu turut melibatkan usaha penambahbaikan dan pembinaan perhubungan terlindung di antara Taman Tugu dengan kawasan sekitar, termasuk kawasan mercu tanda bersejarah, tapak kebudayaan, ruang hijau serta hab pengangkutan.  Ini termasuk dek pejalan kaki dari KL Sentral ke Taman Botani Perdana melalui Muzium Negara.

Perhubungan ini, yang disasarkan siap semuanya pada tahun 2019, ialah sebahagian daripada usaha kolektif untuk menghubungkan beberapa lokasi di ibu kota dan menjadikan Kuala Lumpur lebih mesra kepada pejalan kaki.


9. Apakah manfaat utama Projek Taman Tugu?

Projek Taman Tugu melengkapi Rancangan Malaysia ke-11 dan akan memainkan peranan mempertingkatkan dan mentransformasikan Kuala Lumpur menjadi bandar raya bertaraf dunia pada tahun 2020. Manfaat projek ini termasuk:

Alam Sekitar

  • Pada Julai 2016, Kabinet Malaysia meluluskan Lot-PT88 (tapak seluas 66 ekar di belakang Tugu Negara) untuk diletakkan di bawah suatu badan amanah awam dan dipelihara sebagai kawasan hijau awam kekal. Tapak ini merupakan kawasan terbaik yang menarik bagi pemaju hartanah dan dianggarkan bernilai kira-kira RM2.1 bilion. Semua pokok yang sihat di tapak ini (kira-kira 1,000 batang yang ditandakan oleh FRIM) akan dipelihara dan elemen hijau kawasan ini akan dipertingkatkan lagi dengan penambahan 4,000 pokok hutan hujan etnik Malaysia.

Sosial / Rekreasi

  • Projek ini melibatkan pembinaan kemudahan rekreasi untuk kegunaan rakyat Malaysia tanpa mengenakan sebarang bayaran. Ini termasuklah kawasan permainan air dan taman permainan kanak-kanak, rentis untuk berjalan kaki dan berlari, kawasan perkelahan dan tapak perkhemahan untuk kumpulan sekolah atau belia. Taman ini juga akan mempunyai tempat teduh yang mencukupi, ciri-ciri  keselamatan yang sewajarnya, akses untuk golongan orang kurang upaya, tempat letak kereta serta kemudahan seperti bilik mandi dan bilik persalinan yang boleh dinikmati  pelbagai lapisan masyarakat sepanjang hari. Ini akan menyediakan kawasan tambahan yang menggalakkan gaya hidup sihat yang dapat dinikmati dan dikunjungi rakyat selain kunjungan ke pusat beli-belah seperti kebiasaannya.
  • Projek ini juga akan merangkumi Surau Solat Jumaat baharu (yang dapat memuatkan seramai 2,200  orang jemaah + ruang limpahan sehingga 600 orang jemaah) bagi menggantikan surau sedia ada (maksimum 1,000 orang jemaah) yang selalunya sesak terutama semasa Solat Jumaat. Surau ini digunakan secara meluas oleh komuniti di sekitar kawasan Taman Tugu termasuklah dari BNM, JKR, LPP, ASWARA dan Asia Business School yang sedang dalam pembinaan. Empat buah kuil Hindu sedia ada di tapak seluas 66 ekar ini juga akan dibina semula dan dipertingkatkan. Surau dan kuil ini akan menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat Islam dan Hindu.
  • Dek utama dari KL Sentral ke Taman Botani Perdana akan menyediakan laluan yang lebih mudah ke Taman Botani Perdana kepada mereka yang bekerja dan tinggal di kawasan KL Sentral sekali gus membolehkan mereka menikmati kawasan rekreasi awam hijau pada setiap hari.

Pendidikan

  • Menyediakan perpustakaan awam tambahan kepada komuniti daripada pelbagai peringkat umur dan minat, ruang untuk belajar dan aktiviti kolaboratif, auditorium dan bilik untuk program pembelajaran berterusan. Bajet projek ini mempunyai peruntukan untuk pelaksanaan program dan mobilisasi sehingga tahun 2030. Ini akan membolehkan kursus pembelajaran dan inovasi dijalankan tanpa sebarang kos dan memberikan peluang kepada masyarakat dari luar kawasan untuk hadir tanpa perlu menanggung kos pengangkutan. Program ini juga akan menggalakkan pengajaran secara sukarela oleh mereka yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan untuk berbakti kepada masyarakat.
  • Kemudahan ini juga termasuk ruang bekerja bersama (co-working space), ruang kraetif (maker spaces) dan program pementoran yang bertujuan membantu syarikat permulaan (start-up) dan pelajar Malaysia.
  • Pusat pendidikan hutan hujan yang merupakan sebahagian daripada taman ini akan menggalakkan pembelajaran dan penghayatan mengenai hutan hujan Malaysia.

Pelancongan

  • Meskipun Projek Taman Tugu disasarkan kepada rakyat Malaysia, projek ini akan menjadi daya tarikan kepada warga asing. Taman yang memberikan penekanan kepada pokok hutan hujan Malaysia dan pusat pendidikan hutan hujan akan membolehkan pelancong terutama pelawat jangka pendek untuk menerokai hutan hujan Malaysia tanpa perlu meninggalkan bandar. Kedai makanan dan minuman di taman ini yang hanya menghidangkan makanan asli Malaysia akan membolehkan pelancong menikmati sajian dan masakan tempatan.
  • Perhubungan dari KL Sentral ke Taman Botani Perdana dan Muzium Negara juga akan memudahkan pelancong berulang-alik melalui KL Sentral untuk mengunjungi pelbagai laman budaya dan warisan di kawasan tersebut termasuk Taman Burung, Taman Rama-rama, Planetarium Negara, Muzium Kesenian Islam, Muzium Negara dan juga Taman Botani.

Ekonomi

  • Projek Taman Tugu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat bukan berasaskan keuntungan (CSR) yang berhasrat untuk memberikan sumbangan kepada kualiti kehidupan keseluruhan di Kuala Lumpur justeru tidak memberikan pulangan ekonomi secara langsung. Namun demikian, daripada analisis kami, Taman Tugu akan menjadi tarikan pelancong memandangkan elemen ekopelancongan yang wujud dan hakikat bahawa Projek Taman Tugu menghubungkan pelbagai lokasi kebudayaan dan warisan dengan lebih berkesan. Secara konservatifnya, jika taman ini berjaya menarik 10% daripada pelancong ke Kuala Lumpur untuk menambahkan tempoh lawatan mereka selama ½ hari, kesan pengganda kepada ekonomi dianggarkan berjumlah RM400 juta. Ini bermakna projek tersebut akan terbayar dengan sendirinya dalam tempoh kurang 2 tahun.

10. Apakah proses penganugerahan kontrak untuk Projek Taman Tugu?

Penganugerahan kontrak pembinaan akan diuruskan melalui proses tender yang mematuhi prinsip-prinsip tadbir urus korporat yang ketat. Sebagai peneraju projek, Khazanah Nasional Berhad akan menguruskan proses ini dengan mengambil pendekatan garis panduan pemerolehan yang sama seperti yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikatnya yang lain. Maklumat lanjut berkaitan dengan proses tender ini akan dikongsi pada bulan-bulan yang akan datang.


11. Apakah peranan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (“MNS”) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dalam Projek Taman Tugu?

Seperti yang dijelaskan dalam Soalan 1, Projek Taman Tugu ialah inisiatif yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta disokong oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Peranan MSN dan FRIM secara khususnya adalah untuk menangani usaha-usaha pemuliharaan. Ini termasuk menjalankan audit terhadap pokok-pokok sedia ada di tapak sekarang, memastikan pokok-pokok ini dipelihara dan membangunkan strategi pemuliharaan dan penanaman semula , termasuk mengenal pasti spesies-spesies pokok yang akan dipindahkan ke tapak Taman Tugu. Di samping itu, MNS akan turut menyumbangkan kepakaran mereka kepada usaha membangunkan Pusat Pendidikan Hutan Hujan (Rainforest Education Centre) berdasarkan pengalaman mereka dalam pelbagai inisiatif pendidikan dan kesedaran alam sekitar.


12. Apakah unsur-unsur kawalan keselamatan yang telah diambilkira untuk Projek Taman Tugu?

Unsur-unsur keselamatan telah diterapkan dalam proses mereka bentuk kesemua komponen-komponen projek termasuk taman, laluan perantaraan serta pusat pembelajaran dan inovasi. Ini termasuk memastikan terdapat garis penglihatan yang tidak terhalang, mengurangkan kawasan-kawasan tersembunyi dan menggabungkan pengawasan semula jadi dan mengawal perimeter di seluruh taman termasuk kawasan permainan kanak-kanak. Langkah-langkah seperti sistem pengawasan dan kos kakitangan keselamatan juga telah diperuntukkan dalam proses perancangan.

Keselamatan semua pengunjung adalah keutamaan kami dan akan ditingkatkan dari masa ke semasa sepanjang pelaksanaan Projek Taman Tugu.


13. Apakah peranan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (“MNS”) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dalam Projek Taman Tugu?

Seperti yang dijelaskan di Soalan 1, Projek Taman Tugu adalah inisiatif yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (“DBKL”), serta sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Sumber Asli, dan Alam Sekitar, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Unit Perancangan Ekonomi (“EPU”), Unit Kerjasama Awam-Swasta (“UKAS”), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (“FRIM”) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (“MNS”).

Peranan MSN dan FRIM adalah khusus untuk usaha-usaha pemuliharaan. Ini termasuk menjalankan audit ke atas pokok-pokok yang sedia ada di tapak sekarang, memastikan pokok-pokok ini dipelihara dan membangunkan strategi pemuliharaan dan penambahbaikkan hutan , termasuk mengenal pasti spesis-spesis pokok yang akan dipindahkan ke tapak Taman Tugu. MNS akan turut menyumbangkan kepakaran mereka bagi membangunkan Pusat Pendidikan Hutan Hujan berdasarkan pengalaman mereka dalam pelbagai inisiatif pembelajaran dan kesedaran alam sekitar.