Perkembangan Semasa

Taman Tugu @ Forum Bandar Sedunia ke-9

Tarikh: 9-13 Februari 2018
Tempat: Pusat Konvensyen KL dan 2 Hang Kasturi (sebelum ini dikenali sebagai RUANG oleh ThinkCity)

Forum Bandar Sedunia ke-9 (The 9th World Urban Forum) atau “WUF9”, yang dianjurkan oleh UN-Habitat telah diadakan di Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari 2018. Ini merupakan kali pertama dalam 10 tahun sebuah bandar raya Asia menjadi tuan rumah untuk Forum Bandar Sedunia.

Forum Bandar Sedunia (The World Urban Forum) atau “WUF” merupakan forum teknikal bukan perundangan yang diadakan oleh Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) sejak tahun 2002. Forum tersebut diadakan sekali setiap dua tahun.

Ia diiktiraf sebagai arena global utama untuk interaksi bersama kalangan penggubal dasar, pemimpin kerajaan tempatan, organisasi bukan kerajaan dan pakar dalam bidang pembangunan bandar lestari dan penempatan manusia.

Tema bagi sesi WUF9, iaitu “Bandar 2030, Bandar untuk Semua: Melaksanakan Agenda Bandar Baharu” – menetapkan fokus Forum pada Agenda Bandar Baharu (New Urban Agenda) sebagai suatu alat dan pemacu untuk mencapai Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan PBB.

Agenda Bandar Baharu menetapkan suatu wawasan bersama dan piawaian global bagi pembangunan bandar pada masa yang akan datang.

Ini merupakan sebuah agenda sejagat yang menyentuh penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat dan dibincangkan tepat pada masanya. Buat kali pertama dalam sejarah, lebih separuh daripada penduduk dunia kini tinggal di bandar. Jika dirancang dan diuruskan dengan baik, bandar-bandar boleh menjadi alat utama untuk pembangunan mampan dan mempunyai potensi untuk menjadi penyelesaian kepada sekian banyak cabaran yang dihadapi oleh planet kita pada hari ini.

Banyak kerja berorientasikan tindakan bagi pelaksanaan Agenda Bandar Baharu telah dilaksanakan di WUF9. Sebanyak 22,000 peserta dari 165 buah negara, termasuk lebih 100 Menteri dan Timbalan Menteri, membahaskan langkah pelaksanaan konkrit dan kaedah untuk bekerjasama ke arah pembinaan Bandar 2030, Bandar untuk Semua.

Projek Taman Tugu telah hadir di forum tersebut bersama-sama satu lagi anak syarikat , iaitu Think City. Kami menyertai reruai Think City di pusat konvensyen dan di Hang Kasturi oleh Think City (sebelum ini dikenali sebagai RUANG by Think City).

Think City, ditubuhkan pada tahun 2009, merupakan organisasi penjanaan semula bandar berfokuskan komuniti yang menyasarkan penciptaan bandar yang lebih berdaya huni, berdaya tahan dan berfokuskan penduduk.  Think City merupakan subsidiari milik penuh Khazanah Nasional Berhad dan dibiayai oleh Yayasan Hasanah. Dengan kejayaan Think City di George Town, Pulau Pinang, Think City kemudiannya berkembang ke Butterworth, Kuala Lumpur, dan yang terkini Johor Bahru. Pada hari ini, Think City bekerja rapat dengan kerajaan tempatan, agensi antarabangsa dan pelbagai komuniti tempatan, membina kerjasama dan pada masa yang sama mempertingkatkan keupayaan. Usaha yang digembleng ini akan menghasilkan penyelesaian jangka panjang yang holistik  dan mampan.

Think City dan Projek Taman Tugu mempunyai peranan besar yang perlu dimainkan ke arah mencapai agenda – untuk memastikan bandar berpendidikan dan sihat yang mampan untuk semua. Projek Taman Tugu menyumbang kepada perancangan dari segi pencegahan (dan bukannya rawatan) kesihatan, memupuk nilai sosial yang positif dan menyebarkan ilmu pengetahuan, dan pada masa yang sama bersifat inklusif untuk semua orang ramai tanpa mengira latar belakang, alam semula jadi, dan juga flora dan fauna.

Kami juga menyumbang kepada Sesi Rangkaian mengenai Urban Community Forests yang dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (Malaysian Nature Society, MNS). Kami merupakan sebahagian daripada panel selain NGO Alam Sekitar lain, Arkitek dan Perancang yang membincangkan bagaimana kami, sebagai pertubuhan non-state actors, berupaya dan perlu menyumbang kepada perlindungan dan pengurusan hutan bandar termasuk usaha memastikannya menjadi sebahagian daripada perancangan perbandaran.

Forum seperti ini memberi kita harapan bahawa masih ramai yang sedar dan sedang menggembleng usaha ke arah pewujudan masa depan yang lebih baik, lebih inklusif dan mampan.

Sila ambil perhatian, pameran Projek Taman Tugu @ 2 Hang Kasturi oleh Think City akan terus berlangsung sehingga akhir Februari 2018. Bagi mereka yang tidak berkesempatan menemui kami semasa forum berlangsung, anda dialu-alukan ke 2 Hang Kasturi untuk mengetahui lebih lanjut tentang kami dan berkongsi pandangan anda.



top